1 Selepas Raja Saul mangkat, Daud balik setelah mengalahkan orang Amalek. Daud tinggal di Ziklag selama dua hari.
2 Keesokan harinya, seorang pemuda tiba dari perkhemahan Raja Saul. Sebagai tanda berkabung, pemuda itu telah mengoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepalanya. Dia datang kepada Daud dan bersujud untuk menghormatinya.
3 Daud bertanya kepadanya, “Dari mana engkau datang?”Pemuda itu menjawab, “Saya baru lari dari perkhemahan orang Israel.”
4 Daud berkata, “Ceritakanlah apa yang telah berlaku.”Pemuda itu menjawab, “Tentera kami lari dari pertempuran dan banyak askar yang gugur, termasuk Raja Saul dan puteranya Yonatan.”
5 Daud berkata, “Bagaimana engkau tahu bahawa Raja Saul dan Yonatan sudah gugur?”
6 Pemuda itu menjawab, “Kebetulan saya berada di Gunung Gilboa, dan saya nampak Raja Saul bersandar pada tombaknya. Pada masa itu banyak kereta kuda dan pasukan berkuda musuh yang sudah mendekat untuk mengepung baginda.