2 Samuel 13 BM

Amnon dan Tamar

1 Absalom, putera Raja Daud mempunyai seorang adik perempuan bernama Tamar yang cantik dan masih dara. Amnon, putera Raja Daud daripada isteri yang lain jatuh cinta kepada Tamar.

2 Amnon sangat mengingini Tamar sehingga Amnon jatuh sakit. Tetapi Amnon tidak dapat melakukan apa-apa kerana Tamar masih dara dan tidak boleh berjumpa dengan lelaki.

3 Tetapi Amnon mempunyai seorang sahabat yang sangat cerdik, namanya Yonadab anak Simea; Simea ialah abang Raja Daud.

4 Yonadab berkata kepada Amnon, “Tuan putera raja, namun sehari-hari tuan kelihatan sedih! Mengapa?”Amnon menjawab, “Aku jatuh cinta kepada Tamar, adik Absalom saudaraku itu.”

5 Yonadab berkata kepadanya, “Perkara itu tidak susah! Berpura-puralah sakit dan baringlah di tempat tidur. Apabila ayahanda tuan datang menziarahi tuan, katakan ini, ‘Ayah, benarkanlah Tamar datang untuk memberi saya makanan. Saya mahu dia memasak makanan di sini supaya saya dapat melihat dia, dan dia sendiri menghidangkan makanan itu kepada saya.’ ”

6 Kemudian Amnon berpura-pura sakit lalu baring di tempat tidurnya.Apabila Raja Daud datang menziarahi Amnon, dia berkata kepadanya, “Ayah, izinkanlah Tamar datang untuk memasak kuih di sini, supaya saya dapat melihat dia, dan dia sendiri menghidangkan kuih itu kepada saya.”

7 Kemudian Raja Daud mengirim pesan kepada Tamar di istana, “Pergilah ke rumah abangmu Amnon dan masaklah makanan baginya.”

8 Tamar pergi ke sana dan mendapati Amnon berbaring di tempat tidur. Tamar mengambil sedikit adunan, lalu di hadapan Amnon dia menyediakan kuih untuk dibakar.

9 Kemudian dia mengeluarkan kuih itu dari ketuhar lalu menghidangkannya, tetapi Amnon tidak mahu makan. Katanya, “Suruhlah semua orang keluar!” Lalu mereka semua keluar dari bilik itu.

10 Kemudian Amnon berkata kepada Tamar, “Bawalah kuih itu ke tempat tidurku dan suapilah aku.” Tamar menuruti permintaan abangnya.

11 Tetapi ketika Tamar menghulurkan kuih itu kepadanya, Amnon memegang gadis itu dan berkata, “Marilah tidur dengan aku!”

12 “Jangan!” kata Tamar. “Janganlah paksa saya melakukan perkara sehina itu. Hal seperti itu tidak pernah berlaku di Israel.

13 Jika terjadi begitu, saya akan kehilangan muka. Abang pun akan dihina orang di Israel. Sebaiknya abang berunding dengan raja, dan tentu raja akan setuju saya menjadi isteri abang.”

14 Tetapi Amnon tidak mahu menurut nasihatnya. Oleh sebab Amnon lebih kuat daripada Tamar, dia memaksanya dengan kekerasan, lalu merogol dia.

15 Selepas itu Amnon menjadi sangat benci terhadap Tamar. Kebenciannya itu lebih besar daripada cintanya yang mula-mula. Dia berkata kepada adiknya itu, “Keluar!”

16 Tamar menjawab, “Jangan usir saya. Jika abang mengusir saya, perbuatan itu lebih jahat daripada yang telah abang lakukan tadi!”Tetapi Amnon tidak mahu mendengarkan Tamar.

17 Dia memanggil pelayan peribadinya dan berkata, “Bawalah perempuan ini keluar dan kuncilah pintu!”

18 Pelayan itu pun membawa Tamar keluar lalu mengunci pintu.Tamar memakai jubah panjang yang berlengan panjang. Pada zaman itu puteri raja yang belum kahwin biasanya memakai pakaian seperti itu.

19 Tamar menaruh abu di atas kepalanya, mengoyak jubahnya, dan pergi sambil menutup mukanya dengan kedua-dua tangan serta menangis dengan pilu.

20 Ketika Absalom nampak Tamar, dia bertanya, “Adakah Amnon memperkosa adik? Sudahlah adikku, jangan terlalu sedih kerana hal itu. Dia itu abangmu, kerana itu janganlah beritahukan hal itu kepada sesiapa pun.” Maka Tamar tinggal di rumah Absalom; Tamar sangat sedih dan kesepian.

21 Apabila mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka.

22 Absalom sangat mendendami Amnon dan tidak mahu bercakap dengan dia lagi, kerana Amnon sudah merogol Tamar, adiknya.

Absalom Membalas Dendam

23 Dua tahun kemudian, ketika pengguntingan bulu domba milik Absalom diadakan di Baal-Hazor yang berhampiran kota Efraim, Absalom mengundang semua putera raja datang ke sana.

24 Absalom menghadap raja dan berkata, “Ayahanda, saya mengadakan pesta sempena pengguntingan bulu domba saya. Sudilah ayah datang ke pesta itu bersama dengan para pegawai ayah.”

25 Tetapi raja menjawab, “Jangan, anakku. Jika kami semua datang, kami akan menyusahkan engkau.” Absalom terus mendesak, tetapi ayahnya tetap tidak mahu datang. Baginda hanya memberikan restu kepadanya.

26 Kemudian Absalom berkata, “Jika demikian, benarkanlah saudara saya Amnon ikut kami.”Raja bertitah, “Tidak usahlah dia ikut.”

27 Tetapi Absalom terus mendesak sehingga akhirnya Raja Daud membenarkan Amnon dan semua puteranya yang lain ikut Absalom.Absalom menghidangkan makanan yang mewah sekali.

28 Absalom memberikan perintah kepada hamba-hambanya, “Perhatikan baik-baik, jika Amnon sudah mabuk kerana minum wain, aku akan memberikan isyarat, lalu bunuhlah dia. Jangan takut. Akulah yang bertanggungjawab atas hal itu. Bertindaklah dengan berani dan jangan ragu-ragu!”

29 Hamba-hamba Absalom itu melaksanakan perintahnya lalu membunuh Amnon. Putera-putera Raja Daud yang lain menunggang baghal masing-masing dan melarikan diri.

30 Sedang mereka dalam perjalanan pulang, Raja Daud diberitahu bahawa Absalom telah membunuh semua puteranya, dan tidak seorang pun dibiarkan hidup.

31 Raja Daud bangun, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita, lalu berbaring di lantai. Semua pegawainya ikut mengoyakkan pakaian.

32 Tetapi Yonadab, anak Simea abang Raja Daud berkata, “Tuanku, mereka tidak membunuh semua putera tuanku. Hanya Amnon yang dibunuh, kerana sudah jelas bahawa itulah yang dikehendaki Absalom sejak Tamar adiknya dirogol oleh Amnon.

33 Janganlah percaya bahawa semua putera tuanku telah dibunuh, kerana yang dibunuh hanyalah Amnon.”

34 Sementara itu Absalom telah melarikan diri.Pengawal istana nampak banyak orang datang menuruni gunung dari arah Horonaim. Oleh itu dia pergi kepada raja dan melaporkan hal itu.

35 Yonadab berkata kepada Raja Daud, “Itulah putera-putera tuanku! Tepat seperti yang hamba katakan tadi.”

36 Baru saja dia selesai bercakap, putera-putera Raja Daud tiba. Mereka mula menangis, dan Raja Daud serta hamba-hambanya juga menangis dengan pilu.

37-38 Absalom melarikan diri dan pergi ke istana raja negeri Gesur, iaitu Talmai anak Amihur. Dia tinggal di situ selama tiga tahun. Lama juga Raja Daud berkabung untuk Amnon,

39 tetapi ketika Raja Daud tidak sedih lagi, baginda sangat merindukan Absalom.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24