13 Yoab dan pasukannya maju berperang, sehingga tentera Siria lari.
14 Apabila tentera Amon nampak tentera Siria lari, mereka meninggalkan Abisai lalu masuk ke dalam kota. Setelah memerangi orang Amon, Yoab pulang ke Yerusalem.
15 Orang Siria sedar bahawa mereka telah dikalahkan oleh orang Israel, maka mereka mengumpulkan semua tentera mereka.
16 Raja Hadadezer memanggil tentera Siria yang berada di sebelah timur Sungai Efrat. Mereka datang ke Helam di bawah pimpinan Sobakh, panglima tentera Raja Hadadezer dari Zoba.
17 Apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda mengumpulkan tentera Israel. Kemudian mereka menyeberangi Sungai Yordan, dan menuju ke Helam. Di situ orang Siria mengatur tentera mereka lalu maju menyerang tentera Raja Daud.
18 Tetapi tentera Israel memukul mundur tentera Siria. Raja Daud dan tenteranya membunuh 700 orang pemandu kereta kuda dan 40,000 orang daripada pasukan berkuda. Mereka juga mencederakan Sobakh, panglima tentera musuh, lalu dia mati di medan pertempuran.
19 Apabila raja-raja yang di bawah kuasa Raja Hadadezer sedar bahawa mereka sudah dikalahkan oleh orang Israel, raja-raja itu berdamai dengan orang Israel dan takluk ke bawah kuasa mereka. Sejak itu orang Siria tidak lagi berani membantu orang Amon.