2 Samuel 10:2-8 BM

2 Raja Daud bertitah, “Raja Nahas ialah sahabat beta yang setia. Oleh itu beta juga harus bersahabat dengan Raja Hanun puteranya.” Maka Raja Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menyampaikan takziah kepada Raja Hanun.Apabila utusan-utusan itu tiba di Amon,

3 para pemimpin Amon berkata kepada raja mereka, “Janganlah tuanku berfikir bahawa Raja Daud mengirim para utusan itu untuk menyampaikan takziah kerana baginda mahu menghormati ayahanda tuanku! Raja Daud mengirim semua orang itu ke sini sebagai pengintip untuk menyelidiki kota ini, supaya baginda dapat menakluki kita.”

4 Kemudian Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, mencukur sebahagian daripada janggut mereka, memotong pakaian mereka pada pangkal paha, lalu menyuruh mereka pergi.

5 Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sampai janggut mereka tumbuh semula.

6 Kemudian orang Amon sedar bahawa mereka sudah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka mengupah askar-askar orang Siria: 20,000 orang yang tinggal di Bet-Rehob dan Zoba, dan 12,000 orang dari Tob, serta raja negeri Maakha bersama dengan 1,000 orang anak buahnya.

7 Ketika Raja Daud mendengar hal itu, baginda menyuruh Yoab dengan seluruh angkatan perang supaya maju melawan musuh.

8 Orang Amon pergi ke luar lalu mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan orang Siria, orang Tob, dan orang Maakha pula mengatur barisan mereka di padang.