4 Kemudian Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, mencukur sebahagian daripada janggut mereka, memotong pakaian mereka pada pangkal paha, lalu menyuruh mereka pergi.
5 Para utusan itu sangat malu untuk pulang. Apabila hal itu diberitahukan kepada Raja Daud, baginda mengirim pesan supaya utusan-utusan itu tinggal di Yerikho sampai janggut mereka tumbuh semula.
6 Kemudian orang Amon sedar bahawa mereka sudah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka mengupah askar-askar orang Siria: 20,000 orang yang tinggal di Bet-Rehob dan Zoba, dan 12,000 orang dari Tob, serta raja negeri Maakha bersama dengan 1,000 orang anak buahnya.
7 Ketika Raja Daud mendengar hal itu, baginda menyuruh Yoab dengan seluruh angkatan perang supaya maju melawan musuh.
8 Orang Amon pergi ke luar lalu mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan orang Siria, orang Tob, dan orang Maakha pula mengatur barisan mereka di padang.
9 Yoab sedar bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih tentera Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria.
10 Yoab menyerahkan pasukan yang selebihnya kepada Abisai, adiknya. Abisai mengatur barisan itu berhadapan dengan pasukan orang Amon.