6 Kemudian orang Amon sedar bahawa mereka sudah menjadikan Raja Daud musuh mereka. Oleh itu mereka mengupah askar-askar orang Siria: 20,000 orang yang tinggal di Bet-Rehob dan Zoba, dan 12,000 orang dari Tob, serta raja negeri Maakha bersama dengan 1,000 orang anak buahnya.
7 Ketika Raja Daud mendengar hal itu, baginda menyuruh Yoab dengan seluruh angkatan perang supaya maju melawan musuh.
8 Orang Amon pergi ke luar lalu mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan orang Siria, orang Tob, dan orang Maakha pula mengatur barisan mereka di padang.
9 Yoab sedar bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih tentera Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria.
10 Yoab menyerahkan pasukan yang selebihnya kepada Abisai, adiknya. Abisai mengatur barisan itu berhadapan dengan pasukan orang Amon.
11 Yoab berkata kepada adiknya, “Jika aku tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Siria, cepatlah tolong aku; sebaliknya, jika engkau tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Amon, aku akan datang menolongmu.
12 Tabahkanlah hatimu, dan berjuanglah dengan berani untuk bangsa kita dan untuk kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melakukan apa yang baik bagi-Nya.”