8 Orang Amon pergi ke luar lalu mengatur tentera mereka di hadapan pintu gerbang Raba, ibu kota mereka; sedangkan orang Siria, orang Tob, dan orang Maakha pula mengatur barisan mereka di padang.
9 Yoab sedar bahawa dia terjepit oleh pasukan musuh di hadapan dan di belakang. Oleh itu dia memilih tentera Israel yang terbaik dan menempatkan mereka berhadapan dengan tentera Siria.
10 Yoab menyerahkan pasukan yang selebihnya kepada Abisai, adiknya. Abisai mengatur barisan itu berhadapan dengan pasukan orang Amon.
11 Yoab berkata kepada adiknya, “Jika aku tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Siria, cepatlah tolong aku; sebaliknya, jika engkau tidak sanggup bertahan menghadapi tentera Amon, aku akan datang menolongmu.
12 Tabahkanlah hatimu, dan berjuanglah dengan berani untuk bangsa kita dan untuk kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melakukan apa yang baik bagi-Nya.”
13 Yoab dan pasukannya maju berperang, sehingga tentera Siria lari.
14 Apabila tentera Amon nampak tentera Siria lari, mereka meninggalkan Abisai lalu masuk ke dalam kota. Setelah memerangi orang Amon, Yoab pulang ke Yerusalem.