17 Apabila musuh keluar dari kota untuk menyerang pasukan Yoab, beberapa orang pegawai tentera Raja Daud terbunuh, termasuk Uria.
18 Kemudian Yoab mengirim laporan kepada Raja Daud untuk memberitahu baginda tentang keadaan peperangan.
19 Inilah perintah Yoab kepada utusan itu, “Setelah engkau menceritakan segalanya tentang pertempuran itu,
20 mungkin raja akan murka dan bertitah, ‘Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan kota itu ketika berperang? Tidakkah kamu tahu bahawa musuh tentu akan memanah kamu dari atas tembok kota?
21 Tidakkah kamu ingat bagaimana Abimelekh anak Gideon terbunuh dahulu? Dia terbunuh kerana terkena batu kisaran yang dilemparkan oleh seorang perempuan dari tembok kota di Tebes. Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan tembok kota?’ Jika raja bertanya demikian, katakanlah bahawa Uria, pegawai tentera raja juga terbunuh.”
22 Utusan itu pergi menghadap Raja Daud lalu melaporkan apa yang telah diperintahkan oleh Yoab.
23 Dia berkata, “Musuh lebih kuat daripada kami. Mereka keluar dari kota dan berperang dengan kami di padang, tetapi kami dapat memukul mundur mereka sehingga balik ke pintu gerbang kota.