4 Raja Daud menyuruh orang menjemput Batsyeba. Setelah Batsyeba tiba di istana, Raja Daud berseketiduran dengan dia. (Pada masa itu Batsyeba baru sahaja selesai melakukan upacara penyucian diri selepas haid.) Kemudian Batsyeba pulang ke rumahnya.
5 Beberapa waktu kemudian Batsyeba mendapati dirinya hamil, lalu dia mengirim khabar tentang hal itu kepada Raja Daud.
6 Kemudian Raja Daud mengirim perintah kepada Yoab, “Suruhlah Uria orang Het itu datang menghadap beta.” Lalu Yoab menyuruh Uria pergi menghadap Raja Daud.
7 Apabila Uria sampai, Raja Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab dan tentera Israel, dan keadaan peperangan.
8 Kemudian Raja Daud bertitah kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah sebentar.” Setelah Uria meninggalkan istana, Raja Daud mengirim hadiah ke rumah Uria.
9 Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Malam itu dia tidur di pintu gerbang istana bersama-sama para pengawal raja.
10 Apabila Raja Daud diberitahu bahawa Uria tidak pulang ke rumahnya, baginda bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau baru pulang dari perjalanan jauh? Mengapa engkau tidak pulang ke rumahmu?”