7 Apabila Uria sampai, Raja Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab dan tentera Israel, dan keadaan peperangan.
8 Kemudian Raja Daud bertitah kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah sebentar.” Setelah Uria meninggalkan istana, Raja Daud mengirim hadiah ke rumah Uria.
9 Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Malam itu dia tidur di pintu gerbang istana bersama-sama para pengawal raja.
10 Apabila Raja Daud diberitahu bahawa Uria tidak pulang ke rumahnya, baginda bertanya kepadanya, “Tidakkah engkau baru pulang dari perjalanan jauh? Mengapa engkau tidak pulang ke rumahmu?”
11 Uria menjawab, “Tentera Israel dan Yehuda sedang berjuang di medan peperangan, dan Tabut Perjanjian TUHAN ada bersama-sama mereka. Yoab, panglima kami dan para pegawai tenteranya juga sedang berkhemah di padang terbuka. Bagaimana mungkin hamba pulang, makan minum, dan tidur dengan isteri hamba? Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak akan melakukan hal itu!”
12 Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika demikian, tinggallah di sini hari ini. Esok beta akan mengizinkan engkau pulang.” Oleh itu Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu.
13 Keesokan harinya Raja Daud menjemput Uria ke jamuan malam dan membuatnya mabuk. Tetapi malam itu juga Uria tidak pulang ke rumahnya, melainkan tidur beralaskan selimutnya di dalam bilik pengawal istana.