16 Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk.
17 Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka.
18 Seminggu kemudian anak itu mangkat, dan para pegawai Raja Daud takut untuk memberitahukan hal itu kepada baginda. Kata mereka, “Pada masa anak itu masih hidup, raja tidak mahu mendengarkan kita ketika bercakap dengan raja. Apalagi sekarang sesudah putera raja mangkat! Jangan-jangan raja akan nekad, lalu menyakiti diri baginda sendiri!”
19 Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?”“Ya,” jawab mereka.
20 Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan.
21 Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!”
22 “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup.