20 Ketika Absalom nampak Tamar, dia bertanya, “Adakah Amnon memperkosa adik? Sudahlah adikku, jangan terlalu sedih kerana hal itu. Dia itu abangmu, kerana itu janganlah beritahukan hal itu kepada sesiapa pun.” Maka Tamar tinggal di rumah Absalom; Tamar sangat sedih dan kesepian.
21 Apabila mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka.
22 Absalom sangat mendendami Amnon dan tidak mahu bercakap dengan dia lagi, kerana Amnon sudah merogol Tamar, adiknya.
23 Dua tahun kemudian, ketika pengguntingan bulu domba milik Absalom diadakan di Baal-Hazor yang berhampiran kota Efraim, Absalom mengundang semua putera raja datang ke sana.
24 Absalom menghadap raja dan berkata, “Ayahanda, saya mengadakan pesta sempena pengguntingan bulu domba saya. Sudilah ayah datang ke pesta itu bersama dengan para pegawai ayah.”
25 Tetapi raja menjawab, “Jangan, anakku. Jika kami semua datang, kami akan menyusahkan engkau.” Absalom terus mendesak, tetapi ayahnya tetap tidak mahu datang. Baginda hanya memberikan restu kepadanya.
26 Kemudian Absalom berkata, “Jika demikian, benarkanlah saudara saya Amnon ikut kami.”Raja bertitah, “Tidak usahlah dia ikut.”