23 Dua tahun kemudian, ketika pengguntingan bulu domba milik Absalom diadakan di Baal-Hazor yang berhampiran kota Efraim, Absalom mengundang semua putera raja datang ke sana.
24 Absalom menghadap raja dan berkata, “Ayahanda, saya mengadakan pesta sempena pengguntingan bulu domba saya. Sudilah ayah datang ke pesta itu bersama dengan para pegawai ayah.”
25 Tetapi raja menjawab, “Jangan, anakku. Jika kami semua datang, kami akan menyusahkan engkau.” Absalom terus mendesak, tetapi ayahnya tetap tidak mahu datang. Baginda hanya memberikan restu kepadanya.
26 Kemudian Absalom berkata, “Jika demikian, benarkanlah saudara saya Amnon ikut kami.”Raja bertitah, “Tidak usahlah dia ikut.”
27 Tetapi Absalom terus mendesak sehingga akhirnya Raja Daud membenarkan Amnon dan semua puteranya yang lain ikut Absalom.Absalom menghidangkan makanan yang mewah sekali.
28 Absalom memberikan perintah kepada hamba-hambanya, “Perhatikan baik-baik, jika Amnon sudah mabuk kerana minum wain, aku akan memberikan isyarat, lalu bunuhlah dia. Jangan takut. Akulah yang bertanggungjawab atas hal itu. Bertindaklah dengan berani dan jangan ragu-ragu!”
29 Hamba-hamba Absalom itu melaksanakan perintahnya lalu membunuh Amnon. Putera-putera Raja Daud yang lain menunggang baghal masing-masing dan melarikan diri.