18 Raja menjawab, “Beta mahu menanyakan sesuatu kepadamu, dan jawablah dengan jujur.”“Silakan tuanku,” wanita itu menjawab.
19 Raja bertitah, “Adakah Yoab yang menyuruh kamu?”Jawab wanita itu, “Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak mungkin mengelak diri daripada pertanyaan tuanku. Memang benar tuanku, Yoab sudah memberitahukan apa yang harus hamba lakukan dan katakan.
20 Tetapi dia berbuat begitu untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik. Tuanku bijaksana seperti malaikat Allah sehingga mengetahui segala sesuatu yang berlaku.”
21 Setelah itu raja memanggil Yoab dan bertitah kepadanya, “Keinginanmu itu akan beta penuhi. Pergilah berjumpa dengan Absalom dan bawalah dia kembali.”
22 Yoab sujud di hadapan Raja Daud, lalu berkata, “Kiranya Allah memberkati tuanku! Sekarang hamba tahu bahawa tuanku berkenan kepada hamba kerana tuanku sudah mengabulkan permohonan hamba.”
23 Yoab berangkat ke Gesur untuk mengajak Absalom kembali ke Yerusalem.
24 Tetapi raja tidak mengizinkan Absalom tinggal di istana. Raja bertitah, “Beta tidak mahu melihat dia.” Oleh itu Absalom langsung pulang ke rumahnya sendiri dan tidak menghadap raja.