7 Sekarang, segenap kaum keluarga hamba memusuhi hamba, dan menuntut supaya hamba menyerahkan anak hamba yang membunuh itu kepada mereka. Mereka hendak menghukumnya dengan hukuman mati kerana dia sudah membunuh saudaranya. Jika hamba menyerahkan anak itu, hamba tidak akan mempunyai anak lagi. Mereka akan menghancurkan harapan hamba satu-satunya dan tidak meninggalkan seorang anak lelaki bagi suami hamba untuk meneruskan keturunannya.”
8 “Pulanglah,” jawab raja. “Beta akan mengurus perkara itu.”
9 “Tuanku,” kata wanita itu, “apa saja yang tuanku lakukan, hamba dan keluarga hamba akan menanggung akibatnya; tuanku dan keluarga tuanku tidak bersalah.”
10 Raja menjawab, “Jika ada orang yang mengancam kamu, bawalah dia kepada beta, maka dia tidak akan mengganggumu lagi.”
11 Kata wanita itu, “Sudilah tuanku berdoa kepada TUHAN, Allah tuanku, supaya orang yang hendak membalas kematian anak hamba itu tidak melakukan kejahatan yang lebih besar lagi dengan membunuh anak hamba yang seorang lagi.”Raja Daud menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, anakmu itu tidak akan diapa-apakan walau sedikit pun.”
12 Kemudian wanita itu berkata, “Tuanku, izinkanlah hamba berkata-kata sedikit lagi.”“Baiklah,” jawab raja.
13 Wanita itu bercakap, “Dengan ucapan tuanku itu, tuanku sudah mengaku bahawa tuanku sendiri bersalah kerana tidak mengizinkan putera tuanku pulang dari pengasingan. Mengapakah tuanku melakukan kesalahan seperti itu terhadap umat Allah?