14 Oleh itu Raja Daud bertitah kepada semua pegawainya yang ada di Yerusalem, “Kita mesti melarikan diri sekarang juga, kalau kita mahu terlepas daripada Absalom! Cepatlah! Kalau tidak, dia akan segera tiba dan mengalahkan kita, serta membunuh semua orang di kota!”
15 “Baik, tuanku,” jawab mereka. “Hamba semua sedia melakukan apa saja kehendak tuanku.”
16 Oleh itu raja berangkat, diiringi oleh semua anggota keluarganya dan pegawainya, kecuali sepuluh orang gundiknya yang ditinggalkan untuk menunggu istana.
17 Pada waktu raja dan semua pengiring baginda berjalan meninggalkan kota, mereka berhenti dekat rumah yang terakhir.
18 Semua pegawai raja berdiri di sebelahnya ketika pasukan pengawal raja lalu di hadapan baginda. Selain itu seramai enam ratus orang askar yang mengikutinya dari Gat, juga lalu di hadapan baginda.
19 Apabila raja nampak mereka, raja bertitah kepada Itai, ketua enam ratus orang askar itu, “Mengapa kamu ikut juga dengan kami? Lebih baik kamu balik dan tinggal bersama dengan raja yang baru. Kamu orang asing di sini, orang pelarian yang jauh dari negeri sendiri.
20 Kamu belum tinggal lama di sini, dan beta tidak mahu kamu ikut mengembara dengan beta. Beta sendiri tidak tahu ke mana beta akan pergi. Baliklah dan bawalah juga rakan-rakan sebangsa kamu. Semoga TUHAN mengasihi kamu dan setia kepada kamu.”