17 Pada waktu raja dan semua pengiring baginda berjalan meninggalkan kota, mereka berhenti dekat rumah yang terakhir.
18 Semua pegawai raja berdiri di sebelahnya ketika pasukan pengawal raja lalu di hadapan baginda. Selain itu seramai enam ratus orang askar yang mengikutinya dari Gat, juga lalu di hadapan baginda.
19 Apabila raja nampak mereka, raja bertitah kepada Itai, ketua enam ratus orang askar itu, “Mengapa kamu ikut juga dengan kami? Lebih baik kamu balik dan tinggal bersama dengan raja yang baru. Kamu orang asing di sini, orang pelarian yang jauh dari negeri sendiri.
20 Kamu belum tinggal lama di sini, dan beta tidak mahu kamu ikut mengembara dengan beta. Beta sendiri tidak tahu ke mana beta akan pergi. Baliklah dan bawalah juga rakan-rakan sebangsa kamu. Semoga TUHAN mengasihi kamu dan setia kepada kamu.”
21 Tetapi Itai menjawab, “Tuanku, hamba bersumpah kepada tuanku, demi TUHAN yang hidup bahawa ke mana pun tuanku pergi, hamba akan ikut juga, meskipun menghadapi kematian.”
22 “Baiklah!” jawab Raja Daud. “Majulah!” Maka Itai berjalan bersama dengan segenap pasukannya dan keluarga mereka.
23 Semua orang menangis dengan nyaring ketika para pengikut Raja Daud meninggalkan kota. Kemudian raja menyeberangi Sungai Kidron, diikuti oleh segenap pasukannya, lalu berjalan menuju ke padang gurun.