7 Simei mengutuki baginda dan berkata, “Pergi! Pergi! Pembunuh! Penjenayah!
8 Engkau telah merampas kerajaan Raja Saul! Sekarang engkau dihukum oleh TUHAN kerana membunuh begitu banyak sanak saudara Raja Saul. TUHAN telah memberikan kerajaanmu kepada anakmu Absalom. Sekarang mampuslah engkau, hai pembunuh!”
9 Abisai, ibunya ialah Zeruya, berkata kepada raja, “Mengapa tuanku membiarkan anjing ini mengutuki tuanku? Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!”
10 Tetapi raja bertitah kepada Abisai dan Yoab abangnya, “Jangan masuk campur. Biarkan saja dia mengutuki beta. Jika TUHAN menyuruh dia mengutuki beta, siapakah yang berhak menanyakan mengapa dia berbuat begitu?”
11 Raja Daud bertitah kepada Abisai dan semua pegawainya, “Anak kandung beta sendiri berusaha membunuh beta; mengapa pula kamu hairan melihat kelakuan orang Benyamin ini? TUHAN menyuruh dia mengutuk beta, kerana itu jangan lakukan apa-apa terhadap dia, dan biarkan saja dia mengutuk beta.
12 Mungkin TUHAN akan memperhatikan penderitaan beta dan memberkati beta sebagai ganti kutuk itu.”
13 Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya meneruskan perjalanan, sementara Simei berjalan cepat mengikuti mereka di lereng bukit sambil mengutuki dan melempari mereka dengan batu dan tanah.