10 Akibatnya, orang yang paling berani dan gagah perkasa seperti singa pun tentu akan menjadi takut. Semua orang di Israel tahu bahawa ayahanda tuanku itu seorang pahlawan, dan bahawa anak buahnya itu pejuang-pejuang yang gagah berani.
11 Oleh sebab itu, nasihat hamba begini: Kumpulkanlah semua orang Israel dari seluruh negeri, sehingga jumlahnya sebanyak pasir di pantai. Kemudian tuanku sendiri mengetuai mereka maju bertempur.
12 Kita akan mencari Raja Daud di mana saja baginda berada, lalu kita menyerang baginda sebelum baginda sedar akan apa yang terjadi. Tiada seorang pun yang akan terlepas, baik baginda mahupun anak buahnya.
13 Jika baginda lari ke dalam sebuah kota, segenap rakyat kita akan mengambil tali-temali dan menyeret kota itu lalu menjatuhkannya ke dalam lembah yang terdekat. Seketul batu pun tidak akan ada yang tertinggal di atas bukit itu.”
14 Setelah Absalom dan semua orang Israel mendengar cadangan itu, mereka berkata, “Nasihat Husai lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN sudah menentukan untuk menggagalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya Absalom ditimpa malapetaka.
15 Selepas itu Husai memberi laporan kepada Imam Zadok dan Imam Abyatar tentang nasihat Ahitofel dan nasihatnya sendiri kepada Absalom dan para pemimpin Israel.
16 Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.”