2 Samuel 17:12-18 BM

12 Kita akan mencari Raja Daud di mana saja baginda berada, lalu kita menyerang baginda sebelum baginda sedar akan apa yang terjadi. Tiada seorang pun yang akan terlepas, baik baginda mahupun anak buahnya.

13 Jika baginda lari ke dalam sebuah kota, segenap rakyat kita akan mengambil tali-temali dan menyeret kota itu lalu menjatuhkannya ke dalam lembah yang terdekat. Seketul batu pun tidak akan ada yang tertinggal di atas bukit itu.”

14 Setelah Absalom dan semua orang Israel mendengar cadangan itu, mereka berkata, “Nasihat Husai lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN sudah menentukan untuk menggagalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya Absalom ditimpa malapetaka.

15 Selepas itu Husai memberi laporan kepada Imam Zadok dan Imam Abyatar tentang nasihat Ahitofel dan nasihatnya sendiri kepada Absalom dan para pemimpin Israel.

16 Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.”

17 Sementara itu Yonatan anak Abyatar dan Ahimaas anak Zadok sedang menunggu dekat mata air En-Rogel, di pinggir kota Yerusalem. Mereka tidak berani masuk ke kota kerana takut dilihat orang. Seperti biasa, mereka mendapat khabar daripada seorang hamba perempuan yang menyampaikan berita yang harus dilaporkan kepada Raja Daud.

18 Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu.