18 Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu.
19 Isteri pemilik rumah itu membentangkan penutup di atas lubang perigi itu lalu menaburkan gandum di atasnya, sehingga perigi itu tidak kelihatan.
20 Orang suruhan Absalom datang ke rumah itu dan bertanya kepada wanita tadi, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?”“Mereka baru saja menyeberangi sungai,” jawabnya.Orang suruhan itu mencari kedua-dua orang pemuda itu, tetapi tidak menjumpai mereka. Kemudian orang suruhan itu pulang ke Yerusalem.
21 Ahimaas dan Yonatan keluar dari perigi itu, lalu segera pergi menemui Raja Daud. Mereka melaporkan segala hal yang berlaku. Mereka berkata, “Ahitofel memberi nasihat untuk menyerang tuanku. Oleh itu berangkatlah sekarang juga dan seberangilah sungai ini.”
22 Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar.
23 Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya.
24 Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. (