22 Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar.
23 Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya.
24 Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. (
25 Absalom sudah melantik Amasa menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Amasa anak Yitra, orang Ismael; ibunya bernama Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.)
26 Absalom dan anak buahnya berkhemah di daerah Gilead.
27 Ketika Raja Daud tiba di Mahanaim, baginda disambut oleh Sobi anak Nahas dari kota Raba di Amon, dan oleh Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan oleh Barzilai dari Rogelim di Gilead.
28-29 Mereka membawa mangkuk, kuali tembikar, dan kain tidur untuk Raja Daud dan anak buahnya. Mereka juga membawa gandum, barli, tepung, bertih, kacang merah, kacang merah besar, madu, keju, krim, dan beberapa ekor domba. Mereka tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya lapar, haus, dan lelah kerana perjalanan di padang gurun.