3 Semua anak buahnya akan hamba kembalikan kepada tuanku seperti pengantin perempuan kembali kepada suaminya. Bukankah tuanku hanya menginginkan nyawa satu orang? Orang lain tidak akan diapa-apakan.”
4 Nasihat itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua pemimpin orang Israel.
5 Meskipun begitu Absalom berkata, “Panggillah Husai. Mari kita dengar pendapatnya.”
6 Ketika Husai datang menghadap, Absalom memberitahukan rancangan Ahitofel, lalu berkata, “Begitulah nasihat Ahitofel. Adakah kita hendak menurut nasihat itu? Jika tidak, berilah cadangan lain.”
7 Husai menjawab, “Nasihat Ahitofel kali ini tidak baik.
8 Tuanku tentu tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya itu pejuang yang gagah berani. Mereka seganas beruang betina yang kehilangan anaknya. Lagipun Raja Daud seorang askar berpengalaman, yang tidak pernah bermalam bersama-sama anak buahnya.
9 Mungkin pada saat ini pun baginda sedang bersembunyi di dalam sebuah gua atau di tempat lain. Sebaik saja anak buah tuanku diserang oleh Raja Daud, dan ada yang mati, maka sesiapa saja yang mendengar hal itu akan berkata bahawa anak buah tuanku sudah dikalahkan.