17 Kemudian mereka mengambil mayat Absalom dan melemparkannya ke dalam perigi yang dalam di hutan. Mereka menimbuni perigi itu dengan batu sampai tinggi. Semua orang Israel lari, dan pulang ke rumah masing-masing.
18 Semasa hidup Absalom, dia telah membangun sebuah tugu di Lembah Raja bagi dirinya, kerana dia tidak mempunyai anak lelaki untuk meneruskan keturunannya. Dia menamakan tugu itu menurut namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu dikenal sebagai Tugu Absalom.
19 Kemudian Ahimaas anak Zadok berkata kepada Yoab, “Benarkanlah saya pergi untuk menghadap raja dan menyampaikan khabar baik bahawa TUHAN sudah menyelamatkan raja daripada musuh.”
20 “Jangan,” kata Yoab, “hari ini kamu tidak boleh menyampaikan khabar baik. Kamu boleh melakukannya pada hari lain, tetapi bukan hari ini, kerana putera raja sudah mangkat.”
21 Kemudian Yoab berkata kepada hambanya, orang Etiopia, “Pergilah beritahu raja apa yang telah engkau nampak.” Hamba itu sujud lalu pergi dengan berlari.
22 Tetapi Ahimaas mendesak Yoab, “Walau apa pun yang terjadi, benarkanlah saya juga untuk pergi menyampaikan khabar.”“Mengapa engkau berkeras untuk pergi, anakku?” tanya Yoab. “Engkau tidak akan menerima hadiah untuk hal itu.”
23 “Tidak mengapa,” kata Ahimaas lagi, “Saya akan tetap pergi.”“Jika begitu, pergilah,” kata Yoab. Maka Ahimaas berlari menyusuri jalan yang melalui Lembah Yordan, dan tidak lama kemudian dia berjaya mendahului hamba itu.