5 Raja memberi perintah kepada Yoab, Abisai, dan Itai, katanya, “Demi beta, jangan berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu.” Semua askar mendengar Raja Daud memberi perintah itu kepada para ketua pasukan.
6 Selepas itu tentera Raja Daud pergi ke luar kota untuk memerangi tentera Israel, dan mereka bertempur di hutan Efraim.
7 Tentera Israel dikalahkan oleh anak buah Raja Daud. Kekalahan itu sungguh dahsyat; seramai dua puluh ribu orang mati pada hari itu.
8 Pertempuran merebak ke seluruh kawasan itu, dan lebih banyak orang yang mati terperangkap di dalam hutan daripada terbunuh di medan pertempuran.
9 Semasa Absalom menunggang baghalnya, tiba-tiba dia bertemu dengan anak buah Raja Daud. Baghalnya lalu di bawah pokok oak yang besar, sehingga kepala Absalom tersangkut pada dahan pokok itu. Baghalnya terus berlari sedangkan Absalom tertinggal dan tergantung di situ.
10 Seorang daripada anak buah Raja Daud nampak Absalom dan melaporkan hal itu kepada Yoab, “Tuan, tadi saya nampak Absalom tergantung pada sebatang pokok oak!”
11 Yoab menjawab, “Apa? Awak nampak dia? Mengapa awak tidak segera membunuh dia? Pasti aku akan memberi awak sepuluh keping wang perak dan seutas tali pinggang.”