8 Pertempuran merebak ke seluruh kawasan itu, dan lebih banyak orang yang mati terperangkap di dalam hutan daripada terbunuh di medan pertempuran.
9 Semasa Absalom menunggang baghalnya, tiba-tiba dia bertemu dengan anak buah Raja Daud. Baghalnya lalu di bawah pokok oak yang besar, sehingga kepala Absalom tersangkut pada dahan pokok itu. Baghalnya terus berlari sedangkan Absalom tertinggal dan tergantung di situ.
10 Seorang daripada anak buah Raja Daud nampak Absalom dan melaporkan hal itu kepada Yoab, “Tuan, tadi saya nampak Absalom tergantung pada sebatang pokok oak!”
11 Yoab menjawab, “Apa? Awak nampak dia? Mengapa awak tidak segera membunuh dia? Pasti aku akan memberi awak sepuluh keping wang perak dan seutas tali pinggang.”
12 Tetapi orang itu menjawab, “Walaupun tuan memberi saya seribu keping wang perak, saya tidak mahu menyakiti putera raja. Kami semua mendengar apa yang diperintahkan raja kepada tuan dan kepada Abisai, serta Itai, supaya tidak berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu demi raja.
13 Tetapi sekiranya saya melanggar perintah raja dan membunuh Absalom tadi, tentu hal itu diketahui oleh raja, kerana raja mendengar tentang segala sesuatu, dan tuan pun pasti tidak akan membela saya.”
14 “Sudahlah! Habis masa hanya bersoal jawab dengan awak,” kata Yoab. Kemudian Yoab mengambil tiga batang tombak lalu menikam dada Absalom. Pada masa itu Absalom masih hidup dan tergantung pada pokok oak.