22 Sekali lagi Abner berkata kepadanya, “Jangan kejar aku! Jangan paksa aku membunuh engkau! Bagaimana aku dapat berhadapan muka dengan abangmu Yoab nanti?”
23 Tetapi Asael masih juga mengejar dia. Maka Abner melemparkan tombaknya ke belakang, dan perut Asael terkena sehingga tombak itu tembus ke belakangnya. Asael rebah ke tanah lalu mati di situ juga. Semua orang yang sampai ke tempat dia terlentang itu berhenti dan berdiri di situ.
24 Yoab dan Abisai terus mengejar Abner. Apabila matahari terbenam mereka sampai di Bukit Ama, yang terletak di sebelah timur Giah, di jalan menuju ke kawasan gurun Gibeon.
25 Di sana orang daripada suku Benyamin bergabung lagi dengan Abner, lalu mengatur barisan mereka di puncak sebuah bukit.
26 Dari sana, Abner berseru kepada Yoab, “Haruskah kita bertempur selama-lamanya? Tidak sedarkah kamu bahawa pertempuran ini hanya membawa kepahitan? Kami saudara sebangsa kamu. Berapa lama lagi kamu menunggu sebelum memerintahkan anak buahmu berhenti mengejar kami?”
27 Yoab menjawab, “Aku bersumpah demi Allah yang hidup, jika kamu tidak berkata demikian, tentu anak buahku akan mengejar kamu sehingga esok pagi.”
28 Kemudian Yoab meniup trompet sebagai tanda kepada anak buahnya untuk berhenti mengejar orang Israel, lalu pertempuran itu berhenti.