11 Salah seorang askar Yoab berdiri dekat mayat Amasa lalu berseru, “Sesiapa yang memihak Yoab dan Raja Daud, harus mengikut Yoab!”
12 Mayat Amasa yang berlumuran darah terlantar di tengah jalan. Apabila askar Yoab nampak bahawa semua orang yang lalu berhenti di situ, dia menyeret mayat itu ke padang lalu menutupinya dengan kain.
13 Setelah mayat itu disingkirkan dari jalan, semua orang meneruskan perjalanan mengikut Yoab untuk mengejar Seba.
14 Seba melalui seluruh kawasan suku Israel. Kemudian dia tiba di kota Abel-bet-Maakha, lalu segenap puak Bikri berkumpul dan mengikut dia masuk ke dalam kota.
15 Anak buah Yoab mendengar bahawa Seba berada di sana lalu mereka mengepung kota itu. Mereka membuat tanjakan tanah di sebelah luar tembok, dan mula menggali tanah di bawah tembok untuk meruntuhkannya.
16 Di kota itu ada seorang wanita yang bijak. Dari dalam kota itu dia berseru, “Dengarlah! Dengarlah! Suruh Yoab datang ke mari. Saya hendak bercakap dengan dia.”
17 Yoab datang, lalu wanita itu bertanya, “Tuankah Yoab?”“Ya,” jawab Yoab.“Dengarkanlah kata-kata saya,” kata wanita itu.“Baiklah, saya dengarkan,” kata Yoab.