1 Pada masa pemerintahan Raja Daud, kebuluran yang dahsyat pernah berlaku selama tiga tahun. Oleh itu Raja Daud bertanya kepada TUHAN, lalu TUHAN menjawab, “Raja Saul dan keluarganya sudah berdosa. Mereka telah membunuh orang Gibeon.” (
2 Orang Gibeon bukan orang Israel; mereka sekelompok kecil bangsa Amori. Umat Israel telah berjanji untuk melindungi mereka, tetapi Raja Saul telah berusaha untuk membinasakan mereka kerana baginda menjaga kepentingan umat Israel dan Yehuda.)
3 Oleh itu Raja Daud memanggil orang Gibeon dan bertanya kepada mereka, “Apakah yang dapat beta lakukan bagi kamu? Beta hendak menebus kesalahan yang telah dilakukan kepada kamu, supaya kamu akan memberkati umat TUHAN.”
4 Mereka berkata, “Pertikaian antara kami dengan Raja Saul dan keluarganya tidak dapat diselesaikan dengan perak ataupun emas. Tetapi kami tidak mahu membunuh seorang pun umat Israel.”Kemudian Raja Daud bertitah, “Jika begitu, apakah yang kamu ingin beta lakukan?”
5 Mereka menjawab, “Raja Saul hendak membinasakan kami semua supaya kami lenyap dari seluruh Israel.
6 Oleh itu, serahkanlah tujuh orang lelaki daripada keturunannya supaya kami menggantung mereka di hadapan TUHAN di Gibea, kota asal Raja Saul, raja pilihan TUHAN.”Raja menjawab, “Baiklah, beta akan menyerahkan mereka kepada kamu.”
7 Oleh sebab Raja Daud dan Yonatan sudah bersumpah kepada satu sama lain, Raja Daud tidak menyerahkan Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul, kepada mereka.