13 Raja Daud mengambil tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, lalu mengumpulkan juga tulang-tulang tujuh orang yang telah digantung itu.
14 Selepas itu tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, serta tulang-tulang tujuh orang itu dikuburkan di kubur Kish, ayahanda Raja Saul, di Zela di dalam wilayah Benyamin, sebagaimana yang diperintahkan raja. Selepas itu barulah Allah mengabulkan doa mereka bagi negeri itu.
15 Suatu peperangan terjadi lagi antara orang Filistin dan umat Israel, lalu Raja Daud dan anak buahnya pergi berperang melawan orang Filistin. Dalam salah satu pertempuran itu Raja Daud menjadi letih.
16 Ketika itu seorang raksasa bernama Yisbi-Benob menyangka bahawa dia dapat membunuh Raja Daud. Raksasa itu membawa sebatang tombak gangsa yang beratnya kira-kira 3.5 kilogram, dan dia menyandang sebilah pedang yang baru.
17 Tetapi Abisai anak Zeruya, datang menolong Raja Daud. Abisai menyerang raksasa itu dan membunuh dia. Kemudian anak buah Raja Daud memohon supaya Raja Daud berjanji tidak akan pergi bertempur lagi bersama dengan mereka. “Tuanku adalah harapan Israel,” kata mereka. “Kami tidak mahu kehilangan tuanku.”
18 Selepas itu berlaku lagi satu pertempuran antara umat Israel dengan orang Filistin di Gob. Sibkhai, orang dari Husa, membunuh seorang raksasa yang bernama Saf.
19 Dalam pertempuran lain dengan orang Filistin di Gob, Elhanan anak Yair, orang dari Betlehem membunuh Goliat yang berasal dari Gat. Gagang tombak Goliat sebesar kayu alat tenun.