7 Oleh sebab Raja Daud dan Yonatan sudah bersumpah kepada satu sama lain, Raja Daud tidak menyerahkan Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul, kepada mereka.
8 Tetapi Raja Daud menyerahkan Armoni dan Mefiboset kepada mereka, iaitu dua orang putera Raja Saul yang dilahirkan oleh Rizpa anak Aya. Raja Daud juga menyerahkan lima orang anak lelaki Merab puteri Raja Saul, iaitu anak-anak Merab dan suaminya Adriel anak Barzilai, yang berasal dari Mehola.
9 Raja Daud menyerahkan mereka kepada orang Gibeon. Orang Gibeon menggantung mereka di atas gunung di hadapan TUHAN, dan ketujuh-tujuh orang itu mati. Hukuman mati itu dilaksanakan pada akhir musim bunga, ketika musim menuai barli baru bermula.
10 Kemudian Rizpa gundik Raja Saul, membentangkan kain guni untuk dirinya di atas batu tempat mayat-mayat itu terlantar. Dia tinggal di situ dari permulaan musim menuai sehingga hujan turun pada musim luruh. Pada siang hari dia mengusir burung daripada menghinggapi mayat, dan pada malam hari, dia melindungi mayat itu daripada binatang buas.
11 Apabila Raja Daud mendengar apa yang dilakukan oleh Rizpa,
12 Raja Daud pergi mengambil tulang-tulang Raja Saul dan puteranya Yonatan, dari penduduk kota Yabes di Gilead. (Penduduk Yabes telah mencuri tulang-tulang itu dari padang kota di Bet-San, tempat orang Filistin menggantung mayat-mayat itu pada hari mereka membunuh Raja Saul di Gunung Gilboa.)
13 Raja Daud mengambil tulang-tulang Raja Saul dan Yonatan, lalu mengumpulkan juga tulang-tulang tujuh orang yang telah digantung itu.