13 Gad datang menghadap baginda dan menyampaikan firman TUHAN kepadanya. Nabi itu bertanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau negeri ini diserang wabak selama tiga hari? Fikirkanlah hal ini, dan beritahulah hamba jawapan yang akan hamba sampaikan kepada TUHAN.”
14 Raja Daud menjawab, “Beta dalam keadaan yang sangat mencemaskan! Tetapi beta tidak mahu dihukum oleh manusia. Biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kita, kerana Dia penuh belas kasihan.”
15 Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel mulai pagi hari itu sampai pada waktu yang telah ditetapkan-Nya. Sebanyak 70,000 orang meninggal di seluruh Israel.
16 Malaikat TUHAN telah sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, orang Yebusi. Ketika TUHAN nampak bahawa malaikat itu telah bersedia untuk memusnahkan Yerusalem, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum umat itu. Dia berfirman kepada malaikat yang sedang membunuh umat itu, “Cukup! Berhenti!”
17 Raja Daud nampak malaikat yang sedang membunuh rakyat itu, lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Akulah yang berdosa kerana aku melakukan kesalahan itu. Tetapi apakah kesalahan bangsa yang malang itu? Hukumlah aku dan keluargaku!”
18 Pada hari itu juga Gad datang menghadap Raja Daud dan berkata kepadanya, “Hendaklah tuanku naik ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, dan dirikanlah mazbah bagi TUHAN.”
19 Maka Raja Daud berangkat, menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad.