20 Arauna melihat ke bawah, lalu nampak raja serta para pegawainya naik menuju ke tempatnya. Kemudian Arauna sujud di hadapan Raja Daud,
21 lalu bertanya, “Apa maksud kedatangan tuanku?”Raja Daud menjawab, “Untuk membeli tempat mengirik gandum kepunyaanmu, dan untuk mendirikan mazbah bagi TUHAN, supaya wabak ini berhenti.”
22 Arauna berkata, “Ambil saja tuanku, dan persembahkanlah apa saja yang dikehendaki tuanku, kepada TUHAN. Inilah lembu-lembu untuk dibakar sebagai korban di atas mazbah, dan tuanku boleh menggunakan koknya dan papan-papan tempat mengirik sebagai kayu api.”
23 Arauna memberikan semua itu kepada raja, seraya berkata, “Kiranya TUHAN, Allah tuanku menerima persembahan tuanku.”
24 Tetapi raja menjawab, “Tidak! Beta mahu membelinya. Beta tidak mahu mempersembahkan sesuatu yang beta dapat dengan percuma, kepada TUHAN, Allah beta.” Raja Daud membeli tempat mengirik gandum dan lembu-lembu itu dengan harga lima puluh keping wang perak.
25 Kemudian Raja Daud mendirikan mazbah di situ bagi TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban untuk memohon berkat TUHAN. TUHAN mengabulkan doa Raja Daud, lalu wabak yang melanda Israel itu berhenti.