6 lalu terus ke Gilead dan ke Kades di wilayah orang Het. Kemudian mereka pergi ke Dan, lalu dari Dan mereka membelok ke arah barat, ke kota Saida.
7 Dari situ mereka pergi ke selatan, ke Tirus, kota yang berkubu itu. Seterusnya mereka pergi ke semua kota orang Hewi dan orang Kanaan, dan akhirnya ke Bersyeba, di bahagian selatan Yehuda.
8 Mereka menjelajahi seluruh negeri dalam masa sembilan bulan dan dua puluh hari, lalu mereka kembali ke Yerusalem.
9 Mereka memberikan laporan kepada raja tentang jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk menjadi askar: 800,000 orang di Israel dan 500,000 orang di Yehuda.
10 Tetapi setelah membanci umat itu, Raja Daud berasa bersalah. Lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Ya TUHAN, aku sangat berdosa! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.”
11-12 TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah dan katakanlah kepada Raja Daud bahawa Aku memberikan tiga pilihan kepadanya. Apa saja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Keesokan harinya, selepas Raja Daud bangun dari tidur,
13 Gad datang menghadap baginda dan menyampaikan firman TUHAN kepadanya. Nabi itu bertanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau negeri ini diserang wabak selama tiga hari? Fikirkanlah hal ini, dan beritahulah hamba jawapan yang akan hamba sampaikan kepada TUHAN.”