13 Raja Daud menjawab, “Baiklah! Beta akan membuat perjanjian dengan kamu dengan satu syarat: Kamu mesti membawa Mikhal, puteri Raja Saul, kepada beta apabila kamu menghadap beta.”
14 Raja Daud juga mengirim utusan kepada Raja Isyboset, dengan membawa pesan, “Kembalikanlah isteri beta, Mikhal, kepada beta. Beta membayar seratus kulit khatan orang Filistin untuk mengahwininya.”
15 Oleh itu Raja Isyboset menyuruh utusan baginda mengambil Mikhal daripada suaminya, Paltiel anak Lais.
16 Tetapi Paltiel mengikuti Mikhal sambil menangis. Ketika mereka sampai di kota Bahurim, Abner berkata kepada Paltiel, “Sudahlah, pulang saja!” Kemudian Paltiel pulang.
17 Abner menghadap para pemimpin Israel dan berkata kepada mereka, “Sudah lama kamu ingin supaya Raja Daud menjadi raja kamu.
18 Inilah peluang kamu. Ingatlah bahawa TUHAN sudah berjanji demikian, ‘Aku akan menggunakan hamba-Ku Daud untuk menyelamatkan umat-Ku Israel daripada orang Filistin dan daripada semua musuh yang lain.’ ”
19 Abner juga berunding dengan suku Benyamin, kemudian dia pergi ke Hebron untuk memberitahu Raja Daud apa yang sudah disetujui oleh orang Israel dan suku Benyamin.