1 Apabila Raja Isyboset putera Raja Saul, mendengar bahawa Abner telah dibunuh di Hebron, baginda menjadi takut, dan segenap penduduk Israel pun gentar.
2 Raja Isyboset mempunyai dua orang pegawai yang menjadi ketua pasukan penyerbu, iaitu Baana dan Rekhab, anak-anak Rimon dari Beerot, daripada suku Benyamin. (Beerot adalah sebahagian daripada wilayah Benyamin.
3 Penduduk asli tempat itu telah lari ke Gitaim, dan sejak masa itu mereka menetap di sana.)
4 Seorang lagi keturunan Raja Saul ialah Mefiboset anak Yonatan. Ketika Raja Saul dan Yonatan dibunuh, Mefiboset baru berusia lima tahun. Apabila pengasuhnya mendengar berita kematian itu dari kota Yizreel, dia melarikan anak itu, tetapi kerana terburu-buru, anak itu terjatuh lalu menjadi tempang.
5 Kemudian Rekhab dan Baana pergi ke rumah Raja Isyboset. Mereka tiba di sana pada waktu tengah hari ketika Raja Isyboset sedang berehat.
6 Kebetulan perempuan yang menjaga pintu rumah tertidur kerana mengantuk ketika membersihkan gandum. Oleh itu Rekhab dan Baana dapat menyelinap masuk.