9 Tetapi Raja Daud menjawab, “TUHAN yang hidup, yang telah menyelamatkan beta daripada segala bahaya, tahu bahawa yang akan beta katakan ini benar.
10 Pada masa beta di Ziklag, ada orang yang memberitahu beta tentang kemangkatan Raja Saul. Orang itu berfikir bahawa dia membawa berita baik, tetapi beta telah menangkap dan membunuh dia. Itulah upah yang beta berikan kepadanya sebagai imbalan kepada berita yang dibawanya itu.
11 Apalagi kamu, alangkah kejinya perbuatan kamu itu! Kamu sudah membunuh seorang yang tidak berdosa, dan yang sedang tidur di rumahnya sendiri! Sekarang beta akan membalas kejahatan kamu itu. Beta akan menghapuskan kamu dari muka bumi!”
12 Raja Daud memberikan perintah, lalu askar-askar baginda membunuh Rekhab dan Baana. Setelah dibunuh, tangan dan kaki mereka dipotong lalu digantung dekat kolam di Hebron. Kemudian kepala Raja Isyboset diambil dan dimakamkan di dalam kubur Abner di Hebron.