13 Setelah orang yang mengangkat Tabut Perjanjian melangkah maju enam langkah, Raja Daud menyuruh mereka berhenti. Lalu baginda mempersembahkan korban kepada TUHAN, iaitu seekor lembu jantan dan seekor anak lembu yang digemukkan.
14 Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya.
15 Demikianlah Raja Daud dan segenap rakyat Israel membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem sambil bersorak-sorai dengan diiringi tiupan trompet.
16 Ketika Tabut Perjanjian dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat untuk menghormati TUHAN. Mikhal berasa muak melihat Raja Daud.
17 Kemudian mereka meletakkan Tabut Perjanjian di tempatnya di dalam khemah yang sudah didirikan oleh Raja Daud untuk Tabut Perjanjian. Raja Daud mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.
18 Setelah Raja Daud mempersembahkan korban, baginda memberkati rakyat Israel dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa,
19 dan membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Baginda memberikan seketul roti, sepotong daging panggang, dan kismis kepada setiap lelaki dan perempuan di Israel. Selepas itu mereka pulang ke rumah masing-masing.