5 Raja Daud dan semua orang Israel berjalan di hadapan Tabut Perjanjian sambil menari dan menyanyi dengan segenap tenaga mereka untuk menghormati TUHAN. Mereka bermain kecapi, gambus, rebana, kelentung, dan ceracap.
6 Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Nakhon, lembu-lembu itu tergelincir, lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian.
7 Pada saat itu juga TUHAN Allah murka dengan Uza dan membunuh dia, kerana perbuatannya itu merupakan penghinaan kepada TUHAN. Uza mati di sebelah Tabut Perjanjian.
8 Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza.
9 Tetapi Raja Daud takut juga akan TUHAN. Raja Daud bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?”
10 Oleh itu baginda tidak mahu lagi membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem. Sebaliknya baginda membawa Tabut Perjanjian itu ke rumah Obed-Edom, orang yang berasal dari Gat.
11 Tabut Perjanjian berada di sana selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati Obed-Edom serta keluarganya.