13 Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja.
14 Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya.
15 Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja.
16 Engkau akan sentiasa mempunyai keturunan dan Aku akan mengekalkan kerajaanmu. Kerajaanmu tidak akan berkesudahan.’ ”
17 Demikianlah Natan memberitahu Raja Daud segala yang telah dinyatakan oleh Allah kepadanya.
18 Selepas itu Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Baginda duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Raja, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang telah Engkau tunjukkan kepadaku selama ini.
19 Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu, ya TUHAN Raja. Engkau telah berjanji tentang keturunanku pada masa hadapan, dan Engkau membenarkan aku melihat hal ini, walaupun aku hanya manusia, ya TUHAN Raja!