1-2 Di Susan, ibu kota Persia, Raja Ahasyweros memerintah 127 buah wilayah, dari India sampai ke Etiopia.
3 Pada tahun ketiga pemerintahannya, Raja Ahasyweros mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya. Para panglima Persia dan Media, serta para gabenor dan pegawai tinggi dari wilayah-wilayah turut hadir di jamuan itu.
4 Selama enam bulan raja mempamerkan kekayaan istananya, dan kemegahan serta keagungan kerajaan baginda.
5 Selepas itu raja mengadakan jamuan bagi semua penduduk ibu kota, baik yang kaya mahupun yang miskin. Jamuan itu diadakan di taman istana raja, dan berlangsung selama satu minggu.
6 Pekarangan istana dihias dengan tirai daripada kain linen berwarna biru dan putih, yang diikat dengan pita linen ungu yang halus, dan disangkutkan pada gelang-gelang perak yang dipasang pada tiang-tiang marmar. Sofa-sofa daripada emas dan perak di pekarangan istana, diletakkan di atas lantai yang berturap marmar putih, hablur merah, gewang yang berkilap, dan batu firus biru.
7 Raja menyediakan sangat banyak wain yang dihidangkan di dalam cawan-cawan emas beraneka ragam.
8 Wain yang diminum para tetamu tidak dihadkan. Raja sudah memberikan perintah kepada para pelayan istana supaya melayani setiap tetamu menurut keinginan masing-masing.