Ester 6 BM

Raja Menghormati Mordekhai

1 Pada malam itu juga raja tidak dapat beradu. Oleh itu, raja minta supaya catatan rasmi kerajaan diambil dan raja menyuruh orang membacakannya.

2 Bahagian yang dibaca termasuk catatan bahawa Mordekhai sudah melaporkan komplot pembunuhan raja, yang dirancang oleh Bigtan dan Teres, dua orang sida-sida yang menjaga bilik-bilik raja.

3 Raja bertanya, “Sudahkah kita menghormati serta membalas jasa Mordekhai itu?”Para pelayan raja menjawab, “Belum tuanku. Dia tidak menerima apa-apa!”

4 Kemudian raja bertanya, “Siapakah di kalangan pegawai beta yang berada di istana sekarang ini?”Kebetulan Haman baru sahaja masuk ke halaman istana. Dia datang untuk minta izin kepada raja untuk menggantung Mordekhai pada tiang penggantungan yang sudah didirikan.

5 Oleh itu para pelayan raja berkata, “Haman ada di sini, tuanku. Dia ingin menghadap tuanku.”“Suruhlah dia masuk,” titah raja.

6 Haman datang menghadap, dan raja berkata kepadanya, “Ada seorang yang hendak beta berikan penghormatan. Apakah yang harus beta buat baginya?”Haman berfikir, “Tentu akulah yang akan diberikan penghormatan oleh raja. Tidak mungkin ada sesiapa lagi.”

7-8 Oleh itu, dia berkata kepada raja, “Tuanku, perintahkanlah agar pakaian kebesaran tuanku sendiri dipakaikan pada orang itu. Kuda tuanku harus dihias dengan lambang-lambang diraja.

9 Kemudian perintahlah agar seorang pembesar negara daripada golongan bangsawan mengenakan pakaian itu pada orang itu, dan mengarak orang itu dengan menunggang kuda tuanku melalui lapangan kota. Hendaklah pembesar itu berjalan di hadapannya sambil berseru, ‘Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!’ ”

10 Selepas itu raja berkata kepada Haman, “Cepatlah! Ambillah pakaian dan kuda beta, dan berikanlah segala kehormatan itu kepada Mordekhai orang Yahudi itu. Lakukanlah baginya segala yang sudah kamu cadangkan itu, tanpa mengurangkan satu pun. Dia sedang duduk di hadapan pintu gerbang istana.”

11 Oleh itu Haman mengambil pakaian dan kuda raja, dan mengenakan pakaian itu pada Mordekhai. Mordekhai menunggangi kuda itu dan Haman mengaraknya melalui lapangan kota. Sambil berjalan, Haman mengisytiharkan, “Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!”

12 Kemudian Mordekhai duduk semula di pintu gerbang istana. Tetapi Haman tergesa-gesa pulang ke rumah sambil menutup mukanya kerana berasa sangat malu.

13 Haman memberitahu isterinya dan semua sahabatnya apa yang sudah terjadi. Isteri dan sahabat-sahabatnya yang bijaksana itu berkata kepadanya, “Engkau mula dikalahkan oleh Mordekhai. Dia orang Yahudi, dan engkau tidak akan dapat melawan dia. Dia pasti akan mengalahkan engkau.”

Haman Dihukum Mati

14 Sementara mereka masih bercakap-cakap, sida-sida dari istana datang dengan tergesa-gesa untuk membawa Haman ke jamuan makan yang diberikan oleh Ester.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10