8 Wain yang diminum para tetamu tidak dihadkan. Raja sudah memberikan perintah kepada para pelayan istana supaya melayani setiap tetamu menurut keinginan masing-masing.
9 Sementara itu, di dalam istana Permaisuri Wasti juga memberikan jamuan kepada para wanita.
10 Pada hari ketujuh jamuan itu, raja minum sehingga berasa sangat gembira. Kemudian raja memanggil tujuh orang sida-sida yang menjadi pelayan peribadinya: Mehuman, Bizta, Harbona, Bigta, Abagta, Zetar, dan Karkas.
11 Raja menyuruh mereka membawa Permaisuri Wasti kepadanya dengan memakai mahkota kerajaan. Permaisuri itu sangat cantik dan raja hendak memperlihatkan kecantikannya kepada para pembesar dan tetamunya.
12 Tetapi apabila sida-sida itu menyampaikan perintah raja, Permaisuri Wasti tidak mahu datang. Perbuatannya itu menyebabkan raja sangat murka.
13 Raja mempunyai kebiasaan untuk minta pendapat orang arif tentang persoalan undang-undang dan adat. Oleh itu raja memanggil para penasihatnya untuk bertanya apa yang harus dilakukan dalam perkara seperti itu.
14 Para penasihat raja yang paling sering dipanggil ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan. Mereka pegawai Persia dan Media yang memangku kedudukan paling tinggi dalam kerajaan itu.