Ester 2:14-20 BM

14 Anak dara itu dibawa ke istana raja pada petang hari, dan esok paginya dia dibawa ke istana lain di bawah jagaan Saasgas, sida-sida yang mengurus para gundik raja. Anak dara itu tidak akan menghadap raja lagi kecuali raja menghendakinya dan memanggil dia dengan menyebut namanya.

15 Kemudian tibalah giliran Ester untuk menghadap raja. Ester ialah anak Abihail, dan sepupu Mordekhai, yang sudah memeliharanya seperti anaknya sendiri. Ester dikagumi oleh setiap orang yang melihatnya. Apabila gilirannya tiba, Ester berpakaian menurut petunjuk dan nasihat Hegai, sida-sida yang menjadi ketua istana wanita itu.

16 Demikianlah pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana.

17 Ester menyenangkan hati dan membahagiakan raja lebih daripada semua anak dara yang lain. Oleh itu dialah yang paling dicintai raja. Raja mengenakan mahkota kerajaan pada kepala Ester dan menjadikan dia permaisuri untuk menggantikan Wasti.

18 Selepas itu, raja mengadakan jamuan besar untuk menghormati Ester lalu menjemput semua pembesar dan pegawainya. Raja mengisytiharkan hari cuti bagi seluruh kerajaan dan membahagi-bahagikan banyak sekali hadiah.

19 Sementara itu Mordekhai telah diangkat oleh raja menjadi seorang pegawai negeri.

20 Sehingga masa itu Ester masih belum memberitahu sesiapa pun bahawa dia berbangsa Yahudi. Mordekhai melarang dia memberitahu sesiapa pun tentang bangsanya. Ester mentaati Mordekhai seperti pada masa dia masih kanak-kanak dan diasuh oleh Mordekhai.