8 Setelah titah raja itu diisytiharkan, banyak anak dara dibawa ke Susan, dan Ester ada di kalangan mereka. Dia dibawa ke istana, di bawah jagaan Hegai, ketua rumah tangga istana wanita.
9 Hegai kagum melihat Ester dan suka kepadanya. Dengan segera Hegai memberi Ester perawatan kecantikan serta makanan yang khas. Dia memberi Ester bilik yang terbaik di dalam istana wanita itu. Hegai juga menyuruh tujuh orang gadis yang dipilih khas dari istana raja untuk melayani Ester.
10 Selama itu Ester merahsiakan bahawa dia seorang Yahudi, kerana dia menurut nasihat Mordekhai.
11 Tiap-tiap hari Mordekhai berjalan-jalan di halaman bahagian depan istana wanita itu untuk mengetahui bagaimana keadaan Ester, dan apa yang akan berlaku kepadanya.
12 Jangka masa rawatan kecantikan biasanya berlangsung selama satu tahun: enam bulan dengan minyak mur, dan enam bulan lagi dengan minyak wangi-wangian yang lain. Selepas itu, tiap-tiap anak dara itu bergilir-gilir dihadapkan kepada Raja Ahasyweros.
13 Pada masa seorang anak dara keluar dari istana wanita untuk menghadap raja, dia dibenarkan memakai apa sahaja yang dikehendakinya.
14 Anak dara itu dibawa ke istana raja pada petang hari, dan esok paginya dia dibawa ke istana lain di bawah jagaan Saasgas, sida-sida yang mengurus para gundik raja. Anak dara itu tidak akan menghadap raja lagi kecuali raja menghendakinya dan memanggil dia dengan menyebut namanya.