Ester 6:6-13 BM

6 Haman datang menghadap, dan raja berkata kepadanya, “Ada seorang yang hendak beta berikan penghormatan. Apakah yang harus beta buat baginya?”Haman berfikir, “Tentu akulah yang akan diberikan penghormatan oleh raja. Tidak mungkin ada sesiapa lagi.”

7-8 Oleh itu, dia berkata kepada raja, “Tuanku, perintahkanlah agar pakaian kebesaran tuanku sendiri dipakaikan pada orang itu. Kuda tuanku harus dihias dengan lambang-lambang diraja.

9 Kemudian perintahlah agar seorang pembesar negara daripada golongan bangsawan mengenakan pakaian itu pada orang itu, dan mengarak orang itu dengan menunggang kuda tuanku melalui lapangan kota. Hendaklah pembesar itu berjalan di hadapannya sambil berseru, ‘Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!’ ”

10 Selepas itu raja berkata kepada Haman, “Cepatlah! Ambillah pakaian dan kuda beta, dan berikanlah segala kehormatan itu kepada Mordekhai orang Yahudi itu. Lakukanlah baginya segala yang sudah kamu cadangkan itu, tanpa mengurangkan satu pun. Dia sedang duduk di hadapan pintu gerbang istana.”

11 Oleh itu Haman mengambil pakaian dan kuda raja, dan mengenakan pakaian itu pada Mordekhai. Mordekhai menunggangi kuda itu dan Haman mengaraknya melalui lapangan kota. Sambil berjalan, Haman mengisytiharkan, “Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!”

12 Kemudian Mordekhai duduk semula di pintu gerbang istana. Tetapi Haman tergesa-gesa pulang ke rumah sambil menutup mukanya kerana berasa sangat malu.

13 Haman memberitahu isterinya dan semua sahabatnya apa yang sudah terjadi. Isteri dan sahabat-sahabatnya yang bijaksana itu berkata kepadanya, “Engkau mula dikalahkan oleh Mordekhai. Dia orang Yahudi, dan engkau tidak akan dapat melawan dia. Dia pasti akan mengalahkan engkau.”