9 Kemudian perintahlah agar seorang pembesar negara daripada golongan bangsawan mengenakan pakaian itu pada orang itu, dan mengarak orang itu dengan menunggang kuda tuanku melalui lapangan kota. Hendaklah pembesar itu berjalan di hadapannya sambil berseru, ‘Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!’ ”
10 Selepas itu raja berkata kepada Haman, “Cepatlah! Ambillah pakaian dan kuda beta, dan berikanlah segala kehormatan itu kepada Mordekhai orang Yahudi itu. Lakukanlah baginya segala yang sudah kamu cadangkan itu, tanpa mengurangkan satu pun. Dia sedang duduk di hadapan pintu gerbang istana.”
11 Oleh itu Haman mengambil pakaian dan kuda raja, dan mengenakan pakaian itu pada Mordekhai. Mordekhai menunggangi kuda itu dan Haman mengaraknya melalui lapangan kota. Sambil berjalan, Haman mengisytiharkan, “Lihat, demikianlah raja memberikan penghargaan kepada orang yang dihormatinya!”
12 Kemudian Mordekhai duduk semula di pintu gerbang istana. Tetapi Haman tergesa-gesa pulang ke rumah sambil menutup mukanya kerana berasa sangat malu.
13 Haman memberitahu isterinya dan semua sahabatnya apa yang sudah terjadi. Isteri dan sahabat-sahabatnya yang bijaksana itu berkata kepadanya, “Engkau mula dikalahkan oleh Mordekhai. Dia orang Yahudi, dan engkau tidak akan dapat melawan dia. Dia pasti akan mengalahkan engkau.”
14 Sementara mereka masih bercakap-cakap, sida-sida dari istana datang dengan tergesa-gesa untuk membawa Haman ke jamuan makan yang diberikan oleh Ester.