Ester 8:5-11 BM

5 “Jika tuanku berkenan, dan jika tuanku menyayangi hamba, hendaknya tuanku mengeluarkan surat perintah untuk membatalkan surat perintah Haman anak Hamedata keturunan Agag, yang mengandungi perintah untuk membinasakan semua orang Yahudi di seluruh kerajaan.

6 Bagaimana mungkin hamba sanggup melihat bencana yang berlaku terhadap bangsa hamba, dan melihat sanak saudara hamba dibunuh?”

7 Raja Ahasyweros bertitah kepada Permaisuri Ester dan Mordekhai, orang Yahudi itu, “Beta sudah menjatuhkan hukuman gantung kepada Haman kerana komplotnya terhadap orang Yahudi, dan beta sudah memberikan semua hartanya kepada Ester.

8 Tetapi beta tidak dapat membatalkan perintah yang sudah dibuat atas nama beta sendiri, dan yang dimeteraikan dengan meterai diraja. Namun beta membenarkan kamu menulis surat kepada orang Yahudi, apa sahaja yang kamu kehendaki. Kamu boleh menulis surat itu atas nama beta dan memeteraikannya dengan meterai diraja.”

9 Perkara itu berlaku pada hari kedua puluh tiga bulan ketiga, iaitu bulan Siwan. Mordekhai memanggil para setiausaha raja dan memerintah mereka menulis surat kepada orang Yahudi, para gabenor, pegawai pentadbir, dan pembesar di seluruh 127 buah wilayah kerajaan itu, dari India sampai ke Etiopia. Surat-surat itu ditulis kepada tiap-tiap wilayah dalam bahasa dan tulisan masing-masing. Dia juga mengirim surat kepada orang Yahudi dalam bahasa dan tulisan Yahudi.

10 Surat-surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeterai dengan cincin meterai diraja. Lalu Mordekhai menyuruh para utusan menghantar surat-surat itu ke seluruh wilayah kerajaan dengan menunggang kuda pantas kepunyaan raja.

11 Surat-surat itu membenarkan orang Yahudi di tiap-tiap kota untuk membela diri. Jika mereka, isteri dan anak mereka diserang di wilayah mana-mana pun oleh orang bersenjata daripada bangsa apa pun, mereka dibenarkan melawan dan membinasakan musuh itu. Mereka dibenarkan membunuh musuh sampai habis serta merampas harta musuh itu.