Ester 8:8-14 BM

8 Tetapi beta tidak dapat membatalkan perintah yang sudah dibuat atas nama beta sendiri, dan yang dimeteraikan dengan meterai diraja. Namun beta membenarkan kamu menulis surat kepada orang Yahudi, apa sahaja yang kamu kehendaki. Kamu boleh menulis surat itu atas nama beta dan memeteraikannya dengan meterai diraja.”

9 Perkara itu berlaku pada hari kedua puluh tiga bulan ketiga, iaitu bulan Siwan. Mordekhai memanggil para setiausaha raja dan memerintah mereka menulis surat kepada orang Yahudi, para gabenor, pegawai pentadbir, dan pembesar di seluruh 127 buah wilayah kerajaan itu, dari India sampai ke Etiopia. Surat-surat itu ditulis kepada tiap-tiap wilayah dalam bahasa dan tulisan masing-masing. Dia juga mengirim surat kepada orang Yahudi dalam bahasa dan tulisan Yahudi.

10 Surat-surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeterai dengan cincin meterai diraja. Lalu Mordekhai menyuruh para utusan menghantar surat-surat itu ke seluruh wilayah kerajaan dengan menunggang kuda pantas kepunyaan raja.

11 Surat-surat itu membenarkan orang Yahudi di tiap-tiap kota untuk membela diri. Jika mereka, isteri dan anak mereka diserang di wilayah mana-mana pun oleh orang bersenjata daripada bangsa apa pun, mereka dibenarkan melawan dan membinasakan musuh itu. Mereka dibenarkan membunuh musuh sampai habis serta merampas harta musuh itu.

12 Titah itu dikuatkuasakan di seluruh Kerajaan Persia pada hari yang telah ditentukan bagi pembunuhan orang Yahudi, iaitu pada hari ketiga belas bulan kedua belas, iaitu bulan Adar.

13 Surat perintah itu harus dikuatkuasakan sebagai undang-undang, dan diisytiharkan kepada semua orang di tiap-tiap wilayah, supaya bangsa Yahudi bersiap sedia melawan musuh apabila hari itu tiba.

14 Kemudian atas perintah raja, para utusan itu berangkat dengan menunggang kuda kepunyaan raja dan pergi dengan secepat-cepatnya. Perintah itu diisytiharkan juga di Susan, ibu kota kerajaan.