11 Pada hari itu juga, bilangan orang yang dibunuh di Susan dilaporkan kepada raja.
12 Raja memberitahu Permaisuri Ester, “Di Susan sahaja orang Yahudi sudah membunuh 500 orang, termasuk sepuluh orang anak lelaki Haman. Betapa dahsyat lagi pembunuhan yang mungkin berlaku di wilayah-wilayah! Sekarang apa lagi keinginan adinda? Katakanlah, beta akan memberikannya kepada adinda.”
13 Ester berkata, “Jika tuanku berkenan, benarkanlah orang Yahudi di Susan melakukan lagi pada hari esok apa yang dilakukan mereka hari ini. Hendaklah mayat anak-anak lelaki Haman itu digantung pada tiang penggantungan.”
14 Raja memberikan perintah untuk melaksanakan permintaan Ester. Surat perintah dikeluarkan di Susan dan mayat kesemua anak lelaki Haman digantung.
15 Pada hari keempat belas bulan Adar, orang Yahudi di Susan berkumpul semula dan membunuh sebanyak 300 orang lagi di kota itu. Kali ini juga mereka tidak merampas harta orang.
16 Orang Yahudi di wilayah-wilayah juga berkumpul dan membela diri. Mereka mengalahkan musuh dan membunuh seramai 75,000 orang yang membenci mereka, tetapi mereka tidak merampas harta orang.
17 Peristiwa itu berlaku pada hari ketiga belas bulan Adar. Keesokan harinya, pada hari keempat belas, tidak ada lagi pembunuhan. Mereka merayakan hari itu dengan berpesta.